JANGAN BUAT 10 PERKARA INI UNTUK PENGUSAHA RESTAURANT BARU

 


JANGAN BUAT 10 PERKARA INI UNTUK PENGUSAHA RESTAURANT BARU

1. Pastikan modal cukup

Salah satu kesilapan utama pemilik restoran baru ialah tidak menyediakan dana yang mencukupi. Untuk membuka bisnes restoran, jumlah modal yang diperlukan bukanlah sekadar untuk menyewa premis, mengubah-suai kedai, membeli perkakas dan membeli stok makanan. Anda juga perlu menyediakan modal operasi untuk sekurang-kurangnya 6 bulan. Ini bermakna jika kos bulanan anda ialah RM10k, anda perlu mempunyai aliran tunai cair sebanyak RM60k untuk kegunaan restoran. Tujuannya ialah dalam bisnes ini jarang sekali anda akan mendapat melihat keuntungan dalam beberapa bulan pertama


2. Beli Perkakas Dapur Terpakai

Sekiranya anda akan membuka perniagaan restoran atau kafe pertama anda, cari perkakas dapur terpakai untuk menjimatkan kos. Ini kerana anda tidak akan dapat menjangkakan masa depan bisnes tersebut. Setiap tahun, puluhan dan ratusan restoran tutup disebabkan oleh pelbagai akibat. Perkakas restoran-restoran ini akan dijual semula di kedai barangan terpakai. Buat sedikit homework dan mungkin anda akan dapat mencari peti sejuk yang anda inginkan dalam keadaan baik serta 60% lebih murah dari harga model baru.



3.Guna Sistem POS Restoran

Jika anda serius untuk membuka restoran, saya sarankan untuk memperuntukkan sedikit bajet bagi mendapatkan sistem POS (Point-Of-Sale) restoran dan bukan mesin daftar tunai biasa macam di kedai runcit tu. Ini kerana fungsi daftar tunai biasa amat terhad dan hanya merekodkan jualan. Sistem POS mempunyai pelbagai fungsi yang akan membantu bisnes anda seperti, merekodkan kos barang jualan, merekodkan jualan mengikut menu, mengira bilangan pelanggan, bertindak sebagai punch card untuk pekerja, membantu mengambil tempahan dan banyak lagi. Harga sistem POS  sememangnya lebih mahal dari mesin daftar tunai, tetapi jika digunakan dengan betul, ia akan memberikan bisnes anda pulangan berlipat ganda dalam jangka masa panjang.



4. Cari Tukang Masak Yang Sesuai

Jika anda atau rakan perniagaan anda adalah tukang masak untuk restoran, anda tidak perlu risau tentang perkara ini. Tetapi jika anda perlu mengupah tukang masak, anda perlu berhati-hati untuk memilih calon pekerja. Mencari pekerja yang sesuai dan berkebolehan adalah satu perkara yang amat mencabar untuk usahawan restoran. Tanya sahaja kepada pemilik restoran yang lain, pastinya mereka akan mengeluh tentang isu ini. Apabila anda didalam proses mencari pekerja dapur, anda mesti pastikan bakal pekerja itu boleh melaksanakan masakan didalam menu anda. Sebagai contoh, jangan upah tukang masak western untuk restoran makanan thai anda. Adalah dinasihatkan juga untuk anda mencari pekerja yang mempunyai personaliti yang serasi dengan anda dan kakitangan yang lain. Ini kerana, pekerja yang tidak selesa dengan persekitarannya, tidak akan bertahan lama.



5. Fahami Perbezaan Peralatan Restoran Komersil

Apabila membeli perkakas dan peralatan untuk restoran anda, adalah penting untuk mencari barangan yang direka khas untuk kegunaan restoran. Saya pernah membeli sebuah microwave jenis panasonic untuk restoran pertama saya. Microwave ini adalah model biasa untuk kegunaan rumah dan saya pilih model ini kerana harganya yang mampu milik. Selepas beberapa bulan sahaja, microwave tersebut rosak dan kos memperbaikinya adalah lebih kurang sama dengan harga mesin baru. Pendekkan cerita, saya telah membeli 3 buah microwave model rumah dalam tempoh setahun sebelum saya mengambil keputusan untuk membeli model microwave yang direka untuk kegunaan restoran. Microwave restoran ini telah bertahan lebih dari 5 tahun tanpa sebarang kerosakan. Perkakas komersil sememangnya lebih mahal dari model untuk rumah kerana ianya direka khas untuk tahan lasak.


6. Gunakan Nama Sesuai Untuk Restoran Anda

Apabila mencari nama untuk restoran anda, carilah nama yang original, senang diingati dan juga bersesuaian dengan konsep. Satu tip berguna ialah untuk membuat carian nama yang telah dipilih di Facebook, Instagram atau pun carian web. Pastikan nama tersebut tidak digunakan oleh restoran lain supaya anda boleh memiliki lamannya. Gunakanlah juga nama yang sesuai dengan konsep restoran supaya tidak mengelirukan pelanggan anda.


7. Elak Dari Menggunakan Fon Yang Susah Dibaca

Memang seronok apabila mencari fon yang cool dan unik ketika mereka-bentuk logo dan menu anda, tetapi pastikan fon tersebut mudah dibaca samada dipapan-tanda ataupun dimenu anda. Papan tanda yang kurang jelas akan meyebabkan kesukaran pelanggan untuk mencari restoran anda. Elakkan dari menggunakan fon kursif atau berbunga. Untuk menu, saiz fon 12-14 adalah ideal untuk bacaan mudah.


8. Jangan Mula Dengan Menu Yang Panjang

Pasukan bola yang tidak menjalankan latihan tidak mungkin akan memenangi sebarang kejohanan. Pada permulaan bisnes, anda dan team anda juga akan berdepan dengan pelbagai masalah kerana tidak cukup latihan. Lebih lama restoran itu beroperasi, lebih baik prestasi pekerja dan lebih mudah segala masalah diatasi. Memulakan restoran anda dengan menu yang besar akan menimbulkan pelbagai masalah seperti penyediaan dan pembaziran makanan. Saiz menu yang ideal untuk permulaan ialah tidak lebih dari 30 produk. Setelah 2 atau 3 bulan beroperasi, anda boleh mengolah menu untuk mengeluarkan produk yang tidak mendapat sambutan dan menambahkan hidangan yang baru.

9. Jangan Kedekut Dengan Bajet Pemasaran

Ramai pengusaha restoran kurang memberi perhatian terhadap pemasaran berbayar. Dalam suasana perniagaan hari ini dimana pengguna mempunyai banyak pilihan, usahawan perlu memikirkan pelbagai kaedah pemasaran untuk mengekalkan daya saing. Pemilik tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah tradisional seperti pasaran mulut ke mulut (word of mouth) yang walaupun percuma, akan mengambil masa yang lama untuk datangkan kesan. Usahawan yang dinamik akan memperuntukkan bajet yang mencukupi untuk pelbagai kaedah pemasaran, percuma ataupun berbayar, seperti media sosial, influencer, billboard, risalah dan sebagainya mengikut strategi yang telah ditetapkan.

10. Jangan Percaya Sangat Cakap Rakan Dan Ahli Keluarga

Tentu ramai yang terkejut dengan tips ini! Kebanyakan usahawan yang saya latih memberitahu saya bahawa sebab utama mereka memulakan perniagaan ialah kerana rakan atau ahli keluarga mereka pernah memberi pujian tentang masakan mereka dan menggalakkan supaya membuka restoran. Walaupun pujian seperti ini cukup membanggakan, tapi pandangan segelintir pihak tidak cukup untuk mewakili permintaan pengguna. Sebelum anda mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membuka restoran, cuba berniaga secara kecil-kecilan untuk menguji pasaran. Buka booth di pasar malam atau pesta makanan. Beri sampel kepada jiran dan rakan ofis untuk mendapat maklum balas. Setelah anda berpuas hati dengan feedback tersebut baru fikir untuk buka restoran.





Comments

Popular Posts